Johan, Firdaus bawa masalah besar kepada DBP?
Oleh Harakahdaily
KUALA LUMPUR, 12 Julai (Hrkh) - Pengurusan baru Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) disifatkan kucar-kacir dan bermasalah sejak diterajui Ketua Pengarah, Dato' Dr Firdaus Abdullah dan Pengerusi Lembaga Pengelolanya, Dato' Johan Jaafar.
“Bayangkan, sehingga bulan Julai ini masih belum ada aktiviti yang munasabah dari DBP berbanding ketika badan tersebut dipimpin Dato' Abdul Aziz Deraman," menurut sumber.
"Kegiatan sastera baik tempatan mahupun antarabangsa tiada langsung. Yang ada pun hanyalah dianjurkan beberapa persatuan penulis dan inisiatif pengarang sendiri," kata sumber itu lagi.
Malah, dikatakan bukan rahsia lagi di kalangan masyarakat sastera tanahair bahawa kedua-dua tokoh tersebut mentadbir DBP secara kuku besi.
"Kalau kita biasa tonton Johan pengerusikan Debat Perdana RTM, macam itu jugalah dia pengerusikan mesyuarat di DBP," kata seorang penggiat sastera.
Antara keluhan biasa didengar mengenai fungsi DBP hari ini ialah pengecilan peranan bahasa Melayu dalam pendidikan, namun begitu langkah-langkah kontroversi yang diambil oleh kedua-dua tokoh itu telah menimbulkan keresahan di kalangan pegawai dan pentadbir bahasa dan sastera di DBP sendiri.
Usaha mempromosikan sastera Malaysia di luar negara misalnya dikatakan terhenti dengan penstrukturan semula DBP. Ada banyak bahagian yang ditelan dengan penstrukturan ini dan peranannya secara automatik dikecilkan.
Seorang pengarang mapan yang menerajui sebuah persatuan penulis pula berpendapat keadaan ini timbul kerana dalam tempoh setahun memimpin DBP, Firdaus dan Johan cuba memadam legasi bekas Ketua Pengarah sebelumnya.
“Dato' Aziz dipukul dalam setiap ucapan Ketua Pengarah sehingga beliau terpaksa memilih akhbar tabloid Siasah untuk membela diri. Ini berlaku kerana sudah ada satu persefahaman antara pengarang sastera akhbar utama tanahair supaya tidak menyiarkan berita negatif mengenai DBP," katanya.
Exco persatuan penulis itu turut menegaskan, tokoh yang menerajui DBP kini mereka yang tidak hiraukan lagi soal sastera dan bahasa.
Sumber lain pula mendakwa, kegelisahan masyarakat penulis ini malangnya tidak dibela oleh sesiapa pun.
"Persatuan penulis seperti GAPENA didapati syok sendiri, mereka hanya habiskan duit sesama sendiri berjalan, kumpulan sasterawan tua pula takut bersuara sementara penulis muda didiamkan dengan projek berimbuhan besar atau jika ada yang masih menentang dan berani bersuara akan disenyapkan dengan menggam aktiviti dan hasil penulisan mereka," kata sumber itu.
Seorang pegawai DBP yang enggan dikenali pula menekankan keadaan ini berlaku kerana adanya kronisme.
“Sesama pegawai Dewan, lawak bahawa siapa orang Minang akan dapat perhatian lebih amat lazim didengar, merujuk Dato' Firdaus sebagai orang Minang.
"Lebih membingungkan misalnya penulis Achdiat Akashah yang mengarang buku seperti Budak Momok, Budak Setan, Gigolo dan lain-lain dipilih menjadi pembimbing atau guru mengajar bagaimana kaedah menulis novel sastera yang baik untuk pengarang-pengarang muda Indonesia, Brunei dan Malaysia Ogos ini," kata pegawai itu dengan penuh kesal.
Pegawai tersebut turut menambah, “Nampaknya harapan Yang di-Pertuan Agong Tuanku Syed Sirajuddin Syed Putra Jamalullail untuk melihat bahasa Melayu menjadi bahasa universal tidak akan kesampaian sama sekali jika dua tokoh ini terus memimpin DBP.”
__________________
TERINGAT...zaman kampus lalu, begitu santai kami (penulis, Shukri Abdullah & Hassan Jaidin) keluar masuk DBP hatta ke bilik peribadi sang editornya seperti Zaen dan yang lainnya.