1 - 2 Jun 2006 (Khamis - Jumaat), hari ini buat julung kali semua berkumpul. Setelah berpuluh tahun, membilang hari dan waktu, akhirnya hajat untuk melihat semua berkumpul dalam satu suasana yang harmonis hampir menjelma nyata.
Maka, pada 1 Jun 2006 (Khamis), berangkatlah lapan keluarga menuju ke satu destinasi, dan satu matlamat.
Tujuan; dapat mengembalikan keriuhan keluarga yang sekian lama sepi akibat masing-masing senyap dan terlena sejenak dengan dunia masing-masing.
Matlamat; mengikat satu ikatan kukuh antara titisan-titisan zuriat keturunan Haji Radin Baidawi Haji Radin Siraj (Atuk).
Oleh itu, jam 10 pagi semua seperti dijadual dikehendaki melaporkan diri dan mendaftar di Bagan Lalang Beach Resort dengan urusetia yang diuruskan oleh Radin Zatur Rawihah Radin Abdul Halim, cucu sulung atuk.
Memandangkan inilah permulaan pertemuan julung kali seluruh keluarga, dalam erti kata menyambutnya sebagai acara Hari Keluarga, maka sudah pasti akan ada cacat cela dalam perancangan yang diatur.
Aspek penginapan yang dikendalikan oleh Radin Hasbani (anak ke-5) tidak mengecewakan. Walaupun ada yang meletakkan harapan tinggi seperti siaran Astro, namun dengan jumlah kutipan sebanyak RM200.00 apa lagi yang boleh diimpikan. Maka, 'teratak' dua bilik yang dilengkapi penghawa dingin yang menggigit, dewan seminar, surau, gelanggang tenis, sofball, volleyball, rumah banglo, ruang cafetaria, barbeque serta kemudahan pantai yang tidak terbatas menjadi tempat bertandang buat lapan keluarga atuk untuk Hari Keluarga Radin Baidawi 2006 ini.
Dalam mana-mana majlis Hari Keluarga, seringkali yang menjadi tumpuan dan menandakan kejayaan sesuatu majlisnya adalah dengan kejayaan event/acara kemuncak seperti Sukaneka dan Malam Gala.
Dan sebagaimana yang dijangka, tidak kurang juga hebatnya bagi AJK Hari Keluarga Radin Baidawi yang berstatus amatur seperti Radin Imaduddin (anak Radin Abdul Halim, yang kini bertugas sebagai guru di Sarawak dan dijangka akan menamatkan zaman bujangnya pada 21 November 2006 kelak) dan Hayadin Baidawi (anak ke-7 atuk) dalam menyelia dan menjalankan sukaneka.
Maka, riuhlah lapan keluarga radin2 ini di Pantai Bagan Lalang, sehingga ramai pengunjung yang tertanya-tanya. Bermula dengan acara, menguji kreativiti serta minda ahli keluarga sehinggalah kepada menduga aspek fizikal seperti; menghias alien, boling padang, kaki gajah, sibuta dan tongkatnya, lempar cakera dan membawa dunia di hujung jari.
Embah, Hajah Kalthum Haji Dahlan (emak,embah, nenek) adalah tetamu kehormat dalam acara sukaneka, dan menjadi tumpuan semua ahli keluarga. Walaupun atuk tak hadir kerana uzur dan terpaksa ditinggalkan di resort, namun kelancaran dan keriuhan serta kemeriahan sukaneka tetap terasa.
Menjelang Maghrib, mengikut jadual tentatif; program solat jemaah maghrib dan isyak, yassin dan tahlil turut tidak mengecewakan apabila semua mengambil bahagian. Radin Abdul Halim (anak ke-2 atuk - Pak Ngah), menjadi imam sekaligus leader tahlil dalam majlis tersebut.
Setelah itu, kemuncak 'Malam Gala' diadakan di kawasan barbeque dengan program makan sambil barbeque di kalangan ahli keluarga. Masing-masing menunjukkan kepakaran memasak dengan hanya menggunakan bara api.
Setelah selesai, maka acara diteruskan dengan program spontan 'kotak beracun'. Kalau biasanya, radio / PA System digunakan; tetapi kali ini Radin Imanduddin dengan kreatifannya telah melontarkan suara tersendiri apabila mengalunkan pelbagai irama dari rentak jazz, nasyid, blues, rock, samba, zalin sehinggakan hindi pun ada.
Apa yang menarik, peserta tidak didenda seperti dalam program yang pernah kita lalui sebelum ini, sebaliknya peserta lebih diduga dengan soalan-soalan yang lebih menjurus kepada mengenali keluarga Radin Haji Baidawi dengan lebih akrab.
Majlis pada malam tersebut diakhiri dengan acara penyampaian hadiah kemenangan sukaneka, kotak beracun, dan saguhati serta cenderamata bagi semua yang terlibat.
Kemunculan, keluarga Radin Hannan Radin Haji Baidawi (anak ke-8 atuk, Pak Usu) semasa malam tersebut (barbeque) disambut dengan tangan terbuka oleh semua, dan sekalung tahniah buat beliau dan ahli keluarganya; Marsita, Nazirah, Azman dan Azwan.
Akhirnya, setelah berpenat di pantai, maka tiba di saat akhir apabila menjelang 2.00 pm, semua ahli keluarga pun bersurai.
Apa yang pasti, di akhir pertemuan, semua melahirkan kegembiraan dengan program yang dijalankan dan bertekad untuk mengadakannya lagi lebih kerap dengan disusuli dengan pelbagai aktiviti lain seperti pertemuan bulanan di kalangan rumah adik beradik.
ermmmm...memang seronok buat family day ni. Keluarga saya dah buat utk kali yg ke-6. Setiap bulan, ada usrah..buat bergilir-gilir di rumah ahli keluarga lain. Dah sibuk dengan kerja, kadang2 terlupa ada sedara mara...