20 Jun 2006 (Selasa) 2.30pm...
TATKALA tulisan ini muncul di blog, pastinya perlawanan pusingan pertama Piala Dunia 2006 sedang menuju ke penghujungnya.
Nak cerita pasal bola? Ramai kawan tanya, "hang tak nak tulis apa-apa ke pasal world cup...tulisla." Diri ini hanya mampu tersenyum. Bukan tidak mahu menulis. Banyak sebenarnya nak diluahkan. Pelbagai rakaman dan sudut pandang sisi yang boleh diulasi tentang FIFA 2006 di Germany ini.
Oklah...sekadar bualan ringan sesambil mencekau cekodok dan hirupan kopi panas di bawah pokok kelapa (Pak Kebun jangan marah).
Nu'man, anak bongsu berusia 9 tahun. Dalam Tahun 3 di SKBTHO. Satu petang dia balik dari sekolah (sekolah sesi petang).
Ayah adik tendang gol...
Aku tersentak kejap. Ketika itu, aku tengah santai di sofa buruk, sesambil melepaskan lelah baru pulang dari pejabat...al-maklum di ofis ramai cuti, so kerja bertimbunlah.
Adik tendang tiang gol buat aper...kalau kaki tu patah kan susah...
Aku mula meluahkan buahan letir pada Nu'man. Muka yang berseri dalam cungapan kerana berlari balik dari sekolah itu hilang. Terpalit pula kerutan garis-garis kecewa.
Adik tak tendang tiang gol la...adik tendang bola masuk gol...dua kali!
Dia mula bersungguh-sungguh bercerita. Rupanya petang itu ada subjek Pendidikan Jasmani. Seperti lazimnya, cikgunya yang agak malas nak meransang jadual senaman yang efektif, telah mencapai bola dan menggolekkannya di tengah padang bola sekolah sambil menyuruh anak-anak muridnya bermain. Maka, ditakdirkan, hari tu dua gol dijaringkan. Satu kumpulan yang dianggotai oleh Nu'man, dan satu lagi lawan mereka, yang juga di kalangan rakan-rakan sekelas.
Dan yang paling menarik, kedua-dua gol itu dijaringkan oleh Nu'man. Hebat. Aku yang mendengar kejap teruja, kejap kagum, kejap tergelak dan akhirnya musykil.
Macamana adik boleh gol dua sekali? Dah tu satu sendiri punya pula.
Aku mula mencari kebenaran dan kotak ilmu Nu'man. Dalam dia sedang bercerita, kekusutan dua gol akhirnya terjawab.
Masa cikgu campak bola dia tak bagitau. Cikgu hanya kata sepak masuk gol aje. Adik sepakla. Satu sebelah sini, satu lagi sebelah sana. Masa nak sepak kat belah sana susah ayah. Adik kena bawa bola dari sini. Kawan-kawan cuba rebut, adik bawa bola macam ular. Kejap pusing kiri, kejap pusing kanan. Dah dekat baru adik tendang. Kesian Arip, kawan adik tu...dia tergolek masa nak tangkap bola adik tendang tu. Last-last...bola terus masuk dalam gol. Kawan-kawan semua lompat jerit gol!!!
Nu'man terus melompat. Mengajuk gaya di sekolah tadi. Sambil melompat dia terus naik atas, tukar baju untuk mandi.
Aku terdiam sejenak. Sembilan tahun, cikgunya ajar tendang bola masukkan gol tanpa sebarang arahan spesik. Akibatnya, satu gol sendiri, satu lagi gol yang membawa keputusan seri untuk pasukan anakku.
Sebelum ini, Nu'man tidak pernah diajar untuk bermain bola. Paling-paling sekadar menyepak antara satu sama lain; sama ada antara aku dan dia, dia ngan Aizzat (anak perempuan keduaku) ataupun dia ngan Ira (anak perempuan sulungku).
Hanya itulah pengalaman bola sepaknya. Yang selebihnya, tahun lepas dia, ku ajak menonton beberapa siri perlawanan secara langsung (di televisyen) yang melibatkan pasukan Selangor sehingga menjulang Piala Liga Perdana, FA dan Piala Malaysia.
Itulah mulanya, babak mengenal bintang bola sepak oleh anak-anakku. Sehinggakan kakak-kakaknya pun tidak kurang ilmunya secara teori tentang bola sepak sehingga hampir semua nama-nama pemain Selangor dan Malaysia dihafalnya.
Tapi dalam aspek permainan secara praktikal, Nu'man tidak memiliki lagi sebarang ilmu. Kalau setakat tengok bola diTV dan hafal nama-nama bintang Selangor, Malaysia...hmmm agak mustahil untuk jaringkan gol. Bukannya satu, tapi dua pulak. Lebih-lagi dalam keadaan kesemua 25 pelajar rakan kelasnya merebut mengejarkan bola yang satu itu. Nasib baik takde pengadil, kalau tidak akan jadi 26 orang (hehehhe).
Hmmm...tak boleh jadi ni. Aku pun malam tu selepas jemaah Maghrib, mengaji dan memastikan Nu'man menyiapkan homeworknya...aku panggil dia ke bilik bacaan.
Adik tau tak main bola camana?
Aku mula menyoal Nu'man. Kali ini aku cuba mencungkil ilmu bola sepaknya. Sama ada dia mempelajari sesuatu atau tidak apabila melihat beberapa perlawanan pada tahun lalu.
Adik tau. Cikgu kata tendang masuk gol. Bila kita tendang bola, masuk gol kira main bolalah.
Aku tersenyum. Hebat. Dia tahu matlamat bermain bola sepak adalah untuk menjaringkan gol.
Adik tau tak kena jaring kat gol mana?
Dia geleng kepala.
Cikgu tak bagi tau. Dia cakap terus tendang aje. Jadi semua tendang ajela. Tapi kan ayah...masa kita tengok tv dulu lain.
Aku mengangkat kening. Ingin mendengar hipotesis pengalaman menonton bola sepaknya.
Kalau di TV, Selangor tu...masa Bambang bawa bola dia lari kat gol Pahang aje...pemain Selangor lain pun sama...kalau Pahang pun camtu juga...bila bawa bola dia bawa kat kawasan Selangor. Dia tak tendang gol dia sendiri!
Aku tersenyum. Mula menyedari, sudah ada jalan keluar dalam kekusutan simpulan bola sepaknya.
Betulla adik. Kalau adik dalam satu pasukan, jangan adik tendang masuk gol sendiri. Adik kena tendang balik masuk pintu gol pasukan lawan.
Dia mula mengangguk kepala. Selepas itu, setiap kali guru PJnya membuat game bola sepak, Nu'man akan tersenyum pulang ke rumah. Kadang tu, bukan satu, dua malah empat sekaligus dia jaringkan gol. Ada pernah sekali, aku bergurau 'serius' dengan dia..."adik tendang masuk gol sendiri tadi?" Dia bantah, "mana ada...adik dah tau dah bukan macam mula-mula dulu...pasukan adik menang tau ayah!"
Aku hanya tersenyum. Sekurangnya dia tahu dunia bola sepak. Cuma yang agak risau kini, bimbang pula kalau dia demam bola sepanjang hayat.
Hmmm...lepas ni kena tarbiyah lagi!
Anak bujang yang bangga dengan kejayaannya menjaringkan gol.. u must be proud of him