TATKALA menyambung pengajian di institusi pengajian tinggi dalam bidang komunikasi dan pengajian media, penulis banyak didedahkan dengan ilmu-ilmu dan teori-teori komunikasi.
Pada peringkat pengajian inilah, para pensyarah banyak memberikan bahan ilmu dan kuliah dalam bidang berkenaan.
Salah satu perkara yang menjadi fokus dalam bidang pengajian ini adalah mengenai kebebasan media dalam konteks situasi masa kini.
Apabila bercakap mengenai kebebasan, perkara pertama yang akan muncul dalam pemikiran kita ialah sejauhmanakah kebebasan media yang ada dalam negara yang kita cintai ini?
Kita perlu akur dalam membicarakan soal kebebasan media atau akhbar secara lebih khusus, Malaysia merupakan bahan studi dan sampel yang paling sesuai untuk dijadikan sebagai contoh.
Ini disebabkan, bukan sahaja masyarakat majmuk yang menjadi ukuran malah, persoalan lingkungan kawalan, kuasa dan pelbagai sekatan yang melingkari media hari ini merupakan antara variable yang boleh kita jadikan sebagai kayu pengukur.
Kebebasan akhbar diperuntukkan dalam Perlembagaan Persekutuan
Di negara ini, kebebasan bersuara yang turut dituntut oleh akhbar diperuntukkan di bawah Perkara 10, Perlembagaan Persekutuan. Ia memberi kebebasan bercakap, berhimpun dan menubuhkan persatuan.
Menurut Hussain (1999: 29), secara khususnya hak dan kebebasan bercakap merangkumi hak untuk menulis, merakam, menghebah dan menyebarkan maklumat baik secara lisan, mahupun secara tulisan mengikut kebolehan dan kreativiti seseorang.
Adalah menarik untuk dinyatakan, bahawa Perlembagaan Malaysia tidak memberi penjelasan dalam peruntukan perlembagaan tentang skop kebebasan yang diperuntukkan. Lebih nyata, perlembagaan tidak menyatakan mengenai kebebasan akhbar ataupun media secara khusus.
Dalam pada itu, hak-hak kebebasan yang diberikan bukanlah mutlak dan dibatasi oleh sekatan-sekatan tertentu.
Di bawah Peruntukan 10 juga, mengikut klausa 2 dan 4, kebebasan ini tertakluk kepada kuasa Parlimen untuk mengenakan sekatan yang difikirkan sesuai demi menjaga kepentingan dan keselamatan negara, perhubungan antarabangsa, ketenteraman awam dan akhlak, dan juga
sekatan untuk melindungi keistimewaan Parlimen dan institusi berkaitan.
Nik Abdul Rasyid Majid (dikutip oleh Hussain, 1999: 29-32) dalam kajiannya menyatakan terdapat 18 akta dan peraturan undang-undang yang memainkan peranan secara langsung dalam pengawalan hak asasi dan kebebasan media di Malaysia.
Antaranya:
a) Akta Hasutan, 1948
b) Akta Rahsia Rasmi, 1972
c) Akta Keselamatan Dalam Negeri, 1960
d) Akta Mesin Cetak dan Penerbitan, 1984 (pindaan 1987)
e) Akta Hakcipta, 1987
Media dikawal dalam tiga cara
Kawalan kerajaan terhadap akhbar adalah lumrah di negara-negara membangun seperti Malaysia. Menurut Mustafa dan Loh (1996:100) di negara ini kawalan berlangsung dalam tiga cara iaitu perundangan, pemilikan dan kawalan dalam penerbitan besar, dan melalui promosi terhadap budaya kewartawanan pembangunan bertanggungjawab (responsible development
journalism) antara pengamal-pengamal profesion ini.
Apabila memperkatakan tentang pengawalan melalui undang-undang, Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 (pindaan 1987) tidak boleh diketepikan. Akta ini dianggap sebagai penentu 'umur' sesebuah akhbar, sama ada sesebuah akhbar itu dilanjutkan ataupun dibatalkan permitnya.
Di bawah akta ini, semua akhbar dan penerbitan tetap perlu memiliki lesen tahunan penerbitan yang dikeluarkan oleh Kementerian Dalam Negeri (KDN) yang perlu dipohon setiap tahun.
Selain itu, yang menariknya pembaharuan lesen pula adalah bergantung kepada budi bicara Menteri dan ianya adalah muktamad.
Dan menurut Sankaran (1998) dan Chandra Muzaffar (1986:1-5), akta inilah yang mengawal dan memberi kuasa kepada kerajaan untuk bertindak semaksimanya.
Harakah disekat, dirampas dan dikenakan tindakan
Konsep kebebasan akhbar mungkin mempunyai tanggapan dan pengertian yang berbeza bagi pihak media, orang perseorangan, sarjana komunikasi dan termasuklah pihak pemerintah.
Namun peruntukan undang-undang dan kawalan yang melingkari di sekitar media di negara ini merupakan bukti nyata terhadap takrifan kebebasan akhbar yang sebenar.
Apatah lagi dirasakan pihak pemerintah melalui agensi-agensi yang berada di bawah kawalannya digunakan dengan rakusnya untuk menyekat perkembangan kebebasan maklumat dan akhbar yang dirasakan bertentangan dengan hegemoninya.
Misalnya, di awal tahun 2000, akhbar Harakah telah diarahkan oleh pihak KDN untuk dijual hanya di markas dan pejabat Parti Islam se-Malaysia (PAS) sahaja.
Sejak itu beberapa tindakan merampas akhbar Harakah yang dijual pada khalayak ramai telah dilakukan.
Contohnya, sehingga 19 Januari 2000, sebanyak 864 naskhah Harakah dirampas di Tumpat, Pasir Mas, Kuala Krai, Bachok dan Kota Bahru semenjak operasi dilancarkan di Kelantan pada 3 Januari 2000 (The New Straits Times, 19 Januari 2000).
Selain itu, KDN juga telah mensyaratkan Harakah yang mula terbit pada tahun 1987 untuk dijadikan sebagai akhbar dalaman parti seperti Rocket, akhbar Parti Tindakan Demokratik (DAP).
Malah KDN mensyaratkan agar penerbit menjual akhbar itu kepada ahli sahaja dengan kalimahnya dicetak di muka hadapan. Selain itu, KDN juga pernah mengarahkan Harakah dijual di atas rak khas yang diletakkan perkataan "Harakah - untuk ahli PAS sahaja."
Tindakan dan arahan KDN yang sering berubah menyebabkan "ketidakyakinan pihak PAS terhadap sistem KDN yang tidak tetap" (Harakah, 3 Januari 2000).
Lebih unik lagi dalam melebarkan cengkaman pemerintah terhadap media di negara ini, KDN mensyaratkan Harakah hanya diterbitkan dua kali sebulan berbanding dua kali seminggu sebelum ini.
Sebelum tindakan oleh KDN ini, jumlah edaran Harakah boleh dianggap agak tinggi dengan status sebagai sebuah akhbar alternatif.
Jumlah edarannya yang berkisar sekitar 50,000 sehingga 60,000, tiba-tiba melonjak sebanyak 350,000 naskhah semasa kes bekas Timbalan Perdana Menteri, Dato' Seri Anwar Ibrahim yang disingkirkan dari jawatan kabinetnya dan parti.
Dan semasa pilihan raya umum ke-11 yang lalu, edarannya berada di paras 200,000 naskhah.
Trend yang berlaku menunjukkan bahawa jualan naskhah Harakah naik disebabkan beberapa isu hangat yang tidak disiarkan secara meluas dan telus oleh akhbar arus perdana.
( Tulisan di atas adalah salah satu hasil kertas kerja yang telah dibentang oleh penulis di Universiti Sains Malaysia pada tahun 2002 semasa mengikuti pengajian peringkat sarjana komunikasi - sesiapa yang inginkan teks penuh pembentangan tersebut sila hubungi penulis melalui emel )